Hasil daripada pelbagai inisiatif yang telah dijalankan bagi membantu memudahkan bayaran balik pinjaman, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip jumlah bayaran yang meningkat secara drastik.

Paling jelas kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kempen #BolehBincang yang dilancarkan jelas menjadi.

“Kempen #BolehBincang memberi impak yang sangat baik. Peminjam kita boleh berbincang dengan baik bersama pegawai PTPTN bagi memudahkan bayaran pinjaman,” kata beliau ketika Majlis Ulang Tahun PTPTN ke-20 di Sime Darby Convention Center, di sini hari ini.

“Jumlah kutipan bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik. Tahun 2015 sebanyak RM1.45 bilion berjaya dikutip dan 2017 sebanyak RM3.98 bilion dikutip," tambah beliau.

Menurutnya, insentif yang diberikan kerajaan kepada peminjam PTPTN ternyata memberi kesan yang amat besar dalam peningkatan bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, pinjaman yang ditawarkan PTPTN telah memberi sumbangan kepada kebolehpasaran graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu meningkat kepada 79.1 peratus pada 2017.

Datuk Idris Jusoh hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pada majlis itu.

Kempen #BolehBincang yang dilancarkan Mac tahun lalu membolehkan peminjam berunding dengan pihak PTPTN berhubung pembayaran balik pinjaman mereka melalui pelbagai saluran termasuk menukar sistem pinjaman konvensional kepada sistem ujrah.