Kerajaan sedang mempertimbang cadangan untuk perkenalkan kerangka perundangan bagi menjadikan perbuatan memuat naik kandungan bersifat menghina atau pemalsuan maklumat di dalam Internet sebagai satu kesalahan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata walaupun tindakan boleh diambil di bawah peruntukan akta sedia ada, kajian sedang dibuat mengenai keperluan memperluas peruntukan-peruntukan untuk merangkumi platform lain seperti portal berita dalam talian.

Katanya, cadangan tersebut timbul selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai penyebaran kandungan berita palsu dan paparan menghina yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

"Cadangan melaksanakan kerangka perundangan itu perlu untuk mewujudkan suatu suasana persekitaran penggunaan internet yang lebih sihat demi kebaikan pengguna dan masyarakat," kata MCMC dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurut MCMC, pengguna juga dinasihat untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima sebelum dikongsi dalam media sosial.

"Sekiranya tidak pasti, rujuk terlebih dahulu maklumat yang diterima dengan agensi-agensi yang bertanggungjawab," katanya.

MCMC berkata pengguna juga boleh memainkan peranan dengan melaporkan berita-berita palsu kepada pihak berkuasa untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA