Kerajaan akan memperuntukkan satu dana khas berjumlah RM2 juta kepada golongan penulis bagi membantu mereka mempergiatkan usaha menghasilkan karya lebih bermutu.

Dana itu antara lain bagi menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada persatuan penulis bagi membiayai program pembudayaan bahasa dan sastera.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan bidang penulisan berkembang seiring dengan kemajuan pesat negara.

"Golongan penulis di negara kita perlu terus dibela supaya mereka dapat menyumbang secara lebih bermakna terhadap usaha membina sebuah masyarakat yang maju, berilmu dan bersatu padu," katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menyediakan pelbagai program membina bakat dan kemahiran penulis.

Ujarnya lagi, kerajaan amat menghargai peranan golongan penulis yang telah memberikan sumbangan besar terhadap usaha mewujudkan masyarakat berilmu.

Beliau berkata demikian ketika majlis ramah mesra bersama penulis di sini, hari ini.

Majlis anjuran DBP serta Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) itu dihadiri kira-kira 500 penulis dari seluruh Malaysia.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP Dr Awang Sariyan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron.

Peruntukan dana khas itu akan digunakan untuk melaksanakan 5 inisiatif antaranya membiayai kos penulisan jangka pendek di institusi luar negara bagi penulis terpilih.

Muhyiddin dalam masa sama mencadangkan agar DBP dan ITBM mengkaji semula program penulisan sedia ada bagi melonjakkan karya penulis dalam pelbagai bidang.