Kerajaan sedang mengkaji secara terperinci langkah untuk meningkatkan kadar kelajuan perkhidmatan jalur lebar di negara ini kepada 40 hingga 50 megabit sesaat menjelang tahun 2020, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya kajian itu melibatkan keperluan data yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat Malaysia, selain melihat keperluan infrastruktur bagi membolehkan hasrat itu dicapai.

"Dalam kajian di peringkat negara-negara ASEAN, demand rakyat Malaysia menjelang 2018 adalah sebanyak 49 mbps. Ini tuntutan yang besar dan melibatkan pelaburan yang besar.

"Tidak boleh hanya dicapai berdasarkan (teknologi) wireless. Ia perlukan kita pasang gentian optik yang mana bukan murah dan tidak boleh dibuat dalam masa yang cepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan LocalSIMkad.com di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian telah memanggil wakil Telekom Malaysia dan penyedia-penyedia perkhidmatan untuk berbincang mengenai kaedah perkongsian yang boleh dilaksanakan serta kadar pelaburan yang perlu ditanggung kerajaan.

Bagi memberikan keseimbangan kepada setiap lapisan masyarakat, Ahmad Shabery berkata kerajaan juga sedang mencari model terbaik untuk memperluaskan perkhidmatan dengan kelajuan yang sama di kawasan luar bandar.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kelajuan perkhidmatan jalur lebar yang munasabah mesti menjadi salah satu daripada rancangan ICT Malaysia supaya ia dapat meningkatkan sumbangan sektor itu kepada pendapatan negara.

Sementara itu, mengulas mengenai LocalSIMkad.com, Ahmad Shabery berkata ia merupakan satu khidmat inovatif yang boleh dipuji kerana menawarkan perkhidmatan menempah kad sim telefon bimbit lebih awal sebelum seseorang individu berlepas ke luar negara.

"Ini satu produk yang boleh membantu pengguna membuat perancangan khususnya apabila ramai yang merungut sebab kos roaming (yang tinggi). Pada asasnya, walau secanggih manapun sesuatu produk tetapi kalau tidak membantu pengguna, ia tidak akan memberi komunikasi yang baik," katanya.

Perkhidmatan LocalSIMkad.com diperkenal bagi menangani masalah kos perayauan yang terlalu tinggi apabila berada di luar negara, dan pelanggan hanya perlu menempah kad sim tempatan secara dalam talian yang akan dihantar oleh wakil syarikat itu ke hotel penginapan yang direkodkan.

Ia membolehkan pelanggan menggunakan perkhidmatan internet pada kadar tempatan selain menerima panggilan tanpa caj perayauan.

LocalSIMkad.com mempunyai rakan niaga dengan syarikat telekomunikasi di 16 buah negara termasuk Thailand, Vietnam, Australia, Korea Selatan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Turut hadir pada majlis hari ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania Datuk Azrin Mohd Noor dan Ketua Pegawai Operasi kumpulan itu Firos Mohd Noor.