Kerajaan bersedia melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan serta inisiatif lain untuk membantu rakyat dalam menghadapi kekangan ekonomi sekiranya ada keperluan dan kewangan negara mengizinkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keprihatinan kepada rakyat adalah prinsip utama yang diberi perhatian oleh beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil berat tentang rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini keutamaan saya.

"Apa yang telah saya lakukan dalam tempoh enam bulan lepas adalah berasaskan prinsip ini. Saya bukan sahaja perlu menjaga kesejahteraan rakyat tetapi juga mata pencarian mereka," katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di ibu negara, pada Selasa.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu turut dihadiri Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS.

Muhyiddin mengakui ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, hampir kesemua aktiviti ekonomi terhenti dengan rakyat tidak boleh keluar bekerja dan berniaga seperti biasa, menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

"Kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion. Ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan yang disalurkan oleh kerajaan," ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan bagi beliau kedudukan bukan satu perkara penting, tetapi bagaimana amanah kepimpinan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dijalankan.

"Dari mula saya menjawat jawatan Perdana Menteri, saya bertawakal kepada Allah. Bagi saya, kedudukan saya tidaklah penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itulah yang paling utama.

"Amanah kepimpinan ini adalah satu ujian buat saya dan saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi tentang hal prinsip," katanya.