Kerajaan Terengganu akan mengkaji dengan lebih terperinci bagi melaksanakan penambahbaikan Zoo Kemaman agar tidak menyebabkan bebanan kewangan yang besar kepada kerajaan negeri, kata Menteri Besar Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Perancangan masa depan zoo ini kita akan kaji dengan lebih mendalam apa boleh kita buat dengan keadaan yang sedia ada walaupun ada beberapa fasa perlu dipersiapkan dan ditambah baik di samping objektif akhir supaya tiada bebanan kewangan yang besar kepada kerajaan negeri.

"Selain itu, inisiatif yang diambil selepas ini perlu dapat memberi keuntungan kepada rakyat di sekitar yang mana mereka boleh terlibat dalam aktiviti ekonomi termasuk dengan menyediakan gerai-gerai bersesuaian," katanya selepas lawatan kerja ke Zoo Kemaman dan Kuala Kemaman, Geliga dekat sini pada Ahad.

Ahmad Samsuri berkata penglibatan penduduk sekitar dalam menggerakkan zoo itu amat penting termasuklah penyediaan makanan dan tumbuhan yang diperlukan haiwan tersebut.

Beliau berkata pihaknya turut mempelawa mana-mana syarikat dan agensi yang ingin memberi pendapat serta bekerjasama untuk bersama-sama memajukan zoo sedia ada dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Mengulas mengenai hakisan di kawasan pantai Kuala Kemaman, Ahmad Samsuri berkata ia salah satu kes yang sedang berlaku di seluruh Terengganu dengan mengambil kira Terengganu sebuah negeri dengan pantai paling panjang di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Jadi, kita akan tengok secara menyeluruh sebab di sana terbentuk hakisan dan terdapat kes muara perlu diperdalamkan supaya bot pelancong dan bot nelayan boleh masuk, cuma dalam kes hakisan dan muara ini memerlukan kos yang besar dan ia bawah tanggungjawab kerajaan pusat...sebelum ini kita ada terima bantuan dan kerjasama daripada kerajaan pusat," katanya.

Terdahulu pada Majlis Aidilfitri Daerah Kemaman di Padang Astaka pagi tadi, Ahmad Samsuri mengumumkan penyambungan semula perkhidmatan Kemaman Shuttle dalam masa terdekat dengan beberapa penambahbaikan.

"Kita akan tengok dan perincikan kembali sama ada dari segi kekerapan serta jalan mana yang akan dilalui dan semua itu akan dilihat kembali mengikut keperluan yang diperlukan rakyat," katanya.

Beliau berkata dengan meneruskan perkhidmatan bas Kemaman Shuttle itu diharapkan dapat membantu penduduk di Kemaman terutama di kawasan pinggir bandar sebagai kemudahan pengangkutan seharian.

Perkhidmatan Bas Percuma Kemaman Shuttle yang diuruskan Pejabat Anggota Parlimen Kemaman bermula November 2017, dan ditamatkan perkhidmatannya pada 10 Mei lepas, susulan pertukaran anggota Parlimen kawasan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

-- BERNAMA