Kes demam denggi di seluruh negara menurun 13.3 peratus pada minggu ke-16 bagi tempoh 17 hingga 23 April dengan 1,607 kes dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,854 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya lima negeri menunjukkan peningkatan kes iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mencatatkan 32 kes (25.2 peratus), Negeri Sembilan 10 kes (55.6 peratus), Kelantan 6 kes (14.6 peratus), Perlis 4 kes (100 peratus) dan Pahang 2 kes (6.5 peratus).

Dua kematian dilaporkan pada minggu ke-16 di Selangor melibatkan mereka yang berumur lingkungan 30-an akibat komplikasi demam denggi, katanya dalam kenyataan di sini, malam Sabtu.

"Kedua-dua kematian ini berlaku di kawasan wabak dan pemeriksaan yang dijalankan di kawasan tempat tinggal kes kematian ini menunjukkan kadar pembiakan Aedes sekitar 3.0 peratus, yang melebihi sasaran satu peratus yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes denggi dari Januari hingga 23 April lepas menunjukkan peningkatan 10.8 peratus (4,165 kes) iaitu 42,682 kes bagi tahun ini, berbanding 38,517 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam tempoh itu, sebanyak 94 kematian dilaporkan berbanding 120 kematian bagi tempoh sama pada 2015, iaitu penurunan 21.7 peratus (26 kematian).

Peratusan lokaliti wabak juga menunjukkan penurunan 10.0 peratus iaitu daripada 744 lokaliti pada minggu ke-15 kepada 672 lokaliti pada minggu ke-16, katanya.

Jumlah lokaliti hotspot turut berkurangan daripada 145 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 136 lokaliti pada minggu ke-16 itu melibatkan enam negeri iaitu di Selangor (102 lokaliti), Johor (27 lokaliti), Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sarawak dan Perak masing-masing dua lokaliti dan Negeri Sembilan (satu lokaliti).

Beliau berkata sebanyak 69,984 premis turut diperiksa menerusi operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara sehingga 24 April lepas.

"Sebanyak 390 kompaun dikeluarkan dengan nilai kompaun RM195,000. Sebanyak empat tapak binaan ditutup daripada 106 tapak binaan yang diperiksa dan kesemuanya di Selangor.

"Di samping itu, tujuh kes telah dibawa ke mahkamah iaitu di Selangor (lima kes) dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan serta Terengganu," katanya.

Mengenai jangkitan virus Zika, Dr Noor Hisham berkata 462 sampel telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun, jangkitan virus itu tidak dikesan di negara ini sehingga 23 April lepas.