Kementerian Kesihatan (KKM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membanteras penjualan minyak masak yang dikitar semula kepada pengguna.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, penjual atau pengilang minyak kitar semula harus dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang memandangkan golongan ini mengelirukan pengguna.

"Daripada aspek keselamatan makanan, KKM mempunyai kuasa untuk memeriksa perkara (minyak yang dikitar semula).

"Minyak yang dikitar semula ini perlu dilihat kandungannya kerana ia berpotensi memudaratkan kesihatan pengguna," kata Dr Subramaniam.

Apabila ditanya sekiranya kementeriannya sudi berganding bahu dengan KPDNKK untuk membanteras penjualan minyak kitar semula, beliau berkata usahasama antara kementerian sudah biasa dilaksanakan.

"Bahagian yang menguruskan keselamatan makanan boleh terlibat dalam usaha penguatkuasa untuk menghalang perkara ini dari berleluasa.

"Oleh itu dari sudut penguatkuasaan, kami sudi bekerjasama dengan KPDNKK demi keselamatan pengguna," kata Dr Subramaniam ketika ditemui di lobi Parlimen pada Isnin.