Tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kontraktor pembinaan maut yang ditembak dalam kejadian di Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), George Town, pada awal pagi Isnin.

Turut ditahan dalam penahanan itu adalah bapa saudara mangsa dan kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 48 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif dendam mengenai aktiviti dadah dipercayai punca mangsa dibunuh.

"Empat daripada tujuh suspek positif penyalahgunaan dadah dan kita tidak tolak kemungkinan kes pembunuhan ini mempunyai kaitan dengan dadah.," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 19 Januari ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 11.30 malam Isnin, mangsa Mohamad Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27 tahun maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki yang tidak dikenali.

Mangsa maut ditempat kejadian selepas ditembak lima das dari jarak kurang dari tiga meter.