Kos menunaikan umrah dijangka meningkat apabila kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah melakukan ibadah berkenaan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata, kerajaan tidak menolak akan terdapat kos tambahan yang perlu ditampung oleh jemaah.

Menurut beliau, peningkatan itu dijangka berlaku selepas kerajaan mengambil kira aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam masa, Dr Zulkifli berkata, faktor penambahbaikan aspek keselamatan dan kesihatan untuk mengelak risiko penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah juga perlu diambil kira.

Katanya, kerajaan juga akan akan memperhalusi beberapa aspek lain yang perlu diberi perhatian seperti jumlah jemaah yang dibenarkan dan kos saringan COVID-19.

“Boleh jadi berlaku (peningkatan kos) berdasarkan situasi semasa dengan sebab peraturan dan seumpanya dan itu tidak pelik jika berlaku perkara seperti itu,” kata beliau.

Dr Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Kampung Lambor Kanan, Bota, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kebenaran kepada jemaah Malaysia untuk menunaikan umrah akan diberikan bergantung pada situasi semasa COVID-19 sekalipun kerajaan Arab Saudi dijangka membenarkan ibadah itu dilaksankan mulai September atau Oktober ini.

Menurut Dr Zulkifli, aspek keselamatan dan kesihatan jemaah akan dititikberatkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Jangkaan boleh jadi berubah, boleh jadi tidak. Pada asasnya, memang kita bersedia untuk menghantar (jemaah) tapi bila melihat suasana dan situasi dia boleh berubah.

“Jadi kami menyambut baik apa-apa keputusan tetapi kemaslahatan dan juga dari segi kesihatan memang mana-mana negara pun akan mengutamakannya,” katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan lebih 50,000 jemaah umrah tanah air yang belum berlepas ke Tanah Suci berikutan penutupan sementara Mekah bagi mengekang penularan COVID-19 sedia untuk kembali melaksanakan ibadah itu pada bila-bila masa.

Media Arab Saudi, Saudi Gazzette melaporkan Kementerian Haji dan Umrah negara itu sedang menilai pembukaan semula Mekah untuk ibadah umrah.