Sebuah bas mini bertembung dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) dalam satu kejadian di Batu Empat, berdekatan Bandar Indah Jaya, di sini, awal pagi ini, menyebabkan lapan individu cedera.

Butiran lanjut mangsa masih belum diperolehi.

Bagaimanapun, difahamkan, kesemua mereka di dalam bas mini tersebut sedang dalam perjalanan dari kawasan Batu Tujuh ke Bandar Sandakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu, kebanyakan mangsa didapati tersepit di bahagian kaki, kata Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysai (JBPM) Sabah, Anddre Andrew.

Keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan di Sandakan awal pagi ini. Foto JBPM Sabah

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 5.22 pagi.

“Sejurus itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi dan berjaya mengeluarkan lapan mangsa dari bas mini berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anddre berkata, maklumat awal diterima pihaknya menunjukkan bas mini itu bertembung dengan sebuah 4WD jenis Isuzu Dmax.

Usaha menyelamatkan mangsa yang cedera akibat tersepit semasa kemalangan antara bas mini dan kenderaan pacuan empat roda di Sandakan pagi ini. Foto JBPM Sabah