Sebanyak 19,954 orang pelajar sekolah menengah dan 572 orang murid sekolah rendah di negara ini telah menjalani sesi intervensi lanjutan pada bagi membantu mereka berhenti merokok menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menerusi sesi intervensi lanjutan itu, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah akan menetapkan tarikh untuk mereka berhenti merokok secara sukarela.

"Data pada tahun lepas menunjukkan sebanyak 86.3 peratus perokok semasa di sekolah rendah dan 84 peratus di sekolah menengah telah menjalani sesi intervensi ini.

"Justeru menyedari betapa besarnya impak program ini pada tahun lepas, Kotak telah dipilih sebagai salah satu daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian, Pengarah Kesihatan Negeri dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) di seluruh negara," katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen Kotak 2019 di sini, pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Shafiq Abdullah pada majlis yang dirasmikan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Low Chee Leong.

Dzulkefly berkata pencapaian KPI adalah sebanyak 55.5 peratus murid sekolah yang dikenal pasti sebagai perokok semasa telah menjalani sekurang-kurangnya tiga kali sesi intervensi lanjutan dan ia melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 51 peratus.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan juga telah melancarkan Program mQuit Sekolah yang merupakan kesinambungan program mQuit sedia ada yang mengintegrasikan semua program pencegahan dan intervensi merokok di sekolah.

Katanya ia termasuk program 'I am Free' (IMFree), Kotak dan intervensi oleh guru kaunselor sekolah yang meliputi dua aspek iaitu persekitaran yang bebas daripada asap rokok dan bantuan kepada perokok untuk berhenti merokok.

"Secara kesimpulannya, usaha bersepadu seperti larangan merokok di tempat awam digabungkan dengan program mQuit, IMFree dan Kotak, saya pasti inisiatif ini dapat membantu membudayakan amalan tidak merokok sekali gus membantu usaha kerajaan untuk mencapai sebuah negara bebas daripada segala bentuk amalan merokok," katanya.

-- BERNAMA