Lelaki bersenjatakan pedang samurai yang mengamuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun lepas menyerah diri selepas cedera terkena tembakan, Mahkamah Sesyen di sini diberitahu hari ini.

Koperal Ridzuan Megat Ahmad, 32, dari cawangan MPV, Ibu Pejabat Polis Putrajaya berkata beliau melepaskan dua das tembakan terhadap Khalil Afendi Abd Hamid dan satu das tembakan terhadap pasangannya Muhdalena Ahmad selepas mereka tidak menghiraukan arahannya supaya meletakkan senjata.

Katanya, beliau terpaksa melepaskan tembakan terhadap mereka untuk menyelamatkan diri kerana jarak pasangan itu terlalu hampir dengannya dan beliau berasa takut.

Ridzuan berkata pasangan itu yang dilihatnya agresif dan dalam keadaan marah meluru ke arahnya sambil lelaki itu melibas-libaskan pedang ke arahnya.

Katanya, beliau memberikan arahan tiga kali kepada pasangan itu supaya meletakkan senjata dan menyerah diri.

"Si mati (Khalil) kemudiannya beri amaran kepada saya "Polis jangan masuk campur, kalau tidak mati"," katanya.

Ridzuan yang merupakan saksi pendakwa kesembilan berkata sewaktu beliau memberikan amaran kali kedua, Khalil telah memberi amaran kepada beliau supaya meletakkan senjata ke bawah atau dia (Khalil) akan pancung kepalanya.

Muhdalena dan Khalil Afendi Abd Hamid, 47, dikatakan telah mengamuk di luar jabatan itu dan ditembak. Khalil meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

"Selepas mereka kena tembakan, mereka berdua berjalan ke kaki lima dan duduk di situ dan (si mati) Khalil menyatakan 'Saya surrender'," katanya ketika disoal timbalan pendakwa raya Kalmizah Salleh.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes terhadap Muhdalena, 28, yang berdepan empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Dia didakwa mengugut Ridzuan dalam kawasan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai, 2012 serta memiliki pedang di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, Muhdalena didakwa tidak mematuhi arahan Ridzuan supaya meletakkan pedang selain gagal mematuhi arahan menteri iaitu perlu mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis itu.

Ridzuan tidak bersetuju dengan cadangan peguam M.Visvanathan yang mewakili Muhdalena, bahawa beliau telah menggunakan kekerasan yang melampau dengan melepaskan tembakan terhadap mereka.
Perbicaraan di hadapan hakim Mohamad Kamil Nizam bersambung 12 Jun.