Tidak menunjukkan sebarang masalah atau tekanan, namun tanpa diduga seorang lelaki bertindak membunuh diri dengan terjun dari tingkat 29 sebuah bangunan di Jalan Sultan Ismail pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan dari seorang awam mengenai mengenai kejadian itu pada 5.52 petang.

Sejurus anggotanya tiba di lokasi kejadian mendapati mayat lelaki berkenaan berada dalam keadaan parah dan mengerikan akibat kepalanya berkecai.

"Hasil temu bual dengan rakan sekerja pengadu mendapati, sebelum kejadian lelaki berkenaan ada menghubunginya memberitahu kini berada di tingkat 29 bangunan tersebut, berhadapan dengan tempat kerjanya di Bukit Bintang.

"Semasa berada di lobi bangunan (tempat kerja) lelaki berkenaan melihat (mangsa) berada di koridor dan terus terjun.

"Rakan pengadu juga tidak pasti masalah sebenar mangsa kerana kali terakhir melihat dia berada dalam keadaan baik semasa minum pagi dan tidak menunjukkan mengalami sebarang masalah," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata tiada unsur jenayah namun siasatan lanjut akan diteruskan.

"Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat," jelasnya.