Seorang lelaki maut selepas tangki tenaga gas asli (NGV) di sebuah stesen minyak meletup dan terbakar di Mount Austin, di sini hari ini.

Ketua operasi dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Bahru, Leftenan (PA) Mohd Aziz Jupri berkata. mangsa, Mohd Faizal Mazlan, 33, pada kejadian kira-kira jam 2.55 petang itu berada berdekatan tangki.

Mangsa difahamkan tercampak beberapa meter selepas letupan.

Katanya, pihak APM menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3 petang dan tiba ditempat kejadian 5 minit kemudian.

NGV

Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.

Mohd Aziz berkata sepasukan anggota dan dua jentera dari balai bomba berdekatan turut membantu dalam operasi memadamkan api dan pengosongan premis stesen minyak berkenaan.

sementara itu, ketua polis daerah Johor Bahru Selatan, Assisten Komisioner Polis (ACP) Sulaiman Salleh ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan pihak polis masih menjalankan siasatan punca berlaku kebakaran tersebut.