Seorang peniaga buah parah di leher selepas ditetak seorang lelaki dalam pergaduhan di Pasar Karat, Lorong Kulit, di sini, pada pagi Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 46 tahun itu sedang bersiap sedia menyusun buah di meja untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, secara tiba-tiba seorang lelaki berusia 35 tahun yang tinggal berhampiran dikatakan mengamuk dengan membawa sebilah parang lalu menghampiri mangsa.

Katanya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak menetak belakang leher mangsa menggunakan parang.

Polis yang tiba di lokasi kejadian selepas dihubungi orang ramai cuba menenangkan suspek namun gagal menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengenai kaki suspek.

Menurut Che Zaimani, punca sebenar kejadian masih belum dikenalpasti, namun siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua mereka kini berada di Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan diaporkan stabil.

Che Zaimani berkata, ibu suspek memaklumkan anaknya pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental dan sering mengamuk.

Kes disiasat mengikut seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Katanya, siasatan lanjut mendapati mangsa yang beralamat di Jalan Raja Laut Chow Kit, Kuala Lumpur itu mempunyai 26 rekod lampau atas pelbagai kesalahan termasuk dadah manakala suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kecurian.