Lelaki yang didakwa memukul pengawal keselamatan warga Nepal hingga menyebabkan kecederaan di Jalan Gombak pada Ahad berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan sekitar jam 10 malam pada Ahad.

Siasatan awal mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Dalam kejadian kira kira jam 1.30 petang itu, mangsa dilapor mengunci tayar kenderaan jenis Honda Jazz milik suspek kerana diletakkan di kawasan Orang Kurang Upaya (OKU).

Suspek bersama seorang rakan datang memarahi mangsa dan mengarahkannya membuka kunci tayar pada kenderaannya. Mangsa meminta suspek membayar denda di pejabat pengurusan terlebih dahulu.

Berang dengan permintaan itu, suspek dan rakannya cuba merosakkan kunci tayar berkenaan. Tidak cukup dengan itu, suspek kemudiannya menumbuk muka mangsa sebelum memukulnya menggunakan kayu golf.

Mangsa mengalami luka di bahagian lengan dan telinga kanan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Video kejadian itu turut tular di laman sosial sejak semalam. Video berdurasi 1.04 minit itu antara lain memaparkan suspek sedang bergelut bersama mangsa sebelum dileraikan rakan suspek.