Seorang lelaki yang terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan di sekitar Pulau Pinang berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Serai, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu rumah itu pada pukul 12.03 tengah hari dan menahan lelaki berusia 20 tahun berkenaan.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Bukit Mertajam 13 Nov lepas," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan di sekitar SPT dan Pulau Pinang sejak tiga bulan lepas.

Katanya suspek mencuri kenderaan sebelum menukar nombor pendaftarannya dan menjual kepada sindiket menjual kenderaan curi dengan harga murah.

Nik Ros Azhan berkata polis sedang mengesan sindiket yang terlibat dengan kegiatan lelaki itu dan suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menahan seorang penagih dadah berusia 33 tahun kerana terlibat kegiatan mencuri motosikal dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Teh, Machang Bubok di sini semalam.

Beliau berkata dalam serbuan pukul 6 petang itu, polis turut merampas sejumlah dadah dan peralatan menghisap bahan terlarang berkenaan serta sebuah motosikal curi yang telah diubah suai.

"Lelaki itu bersama seorang lagi rakannya terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak enam bulan lepas dan modus operandi mereka ialah mencuri kenderaan di kawasan pusat membeli belah sebelum meleraikan komponennya atau terus menjual kepada pembeli dengan harga murah," katanya.

Katanya komponen motosikal yang dileraikan dijual kepada geng mat rempit dengan harga murah.

-- BERNAMA