Jabatan Imigresen Malaysia menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia dalam Op Serkap kerana disyaki menjadi dalang sindiket pengeluaran dokumen palsu milik jabatan itu, pada Sabtu lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata suspek berumur lingkungan 25 hingga 38 tahun, anggota sindiket Ah Boy, ditahan di dua premis di kawasan Chow Kit dan Kampung Baru di sini, menerusi operasi yang menyasarkan warga Indonesia dan Bangladesh.

"Kesemua suspek dipercayai menawarkan perkhidmatan menjual Surat Kebenaran Bekerja dengan syarikat lain, mengeluarkan pelekat PLKS dan lampiran biodata dan pasport yang dipalsukan beserta laminate dan menjual I-Kad yang dipalsukan dengan bayaran RM30 hingga RM180," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mustafar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana membuat atau memalsu atau meminda sesuatu endosmen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit dan pas atau Seksyen 56 (1A) (c) akta sama kerana bersubahat.

-- BERNAMA