Kerajaan telah menghubungi Filipina di dalam usaha membebaskan warga Malaysia yang diculik di perairan Ligitan, Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, ia penting untuk memastikan keselamatan empat mangsa berkenaan.

"Saya telah menghubungi Setiausaha Luar Filipina, Jose Rene Almendras berhubung kejadian penculikan empat warga Malaysia pada 1 April.

"Saya telah memohon bantuan Kerajaan Filipina di dalam usaha untuk membebaskan warga Malaysia tersebut.

"Ia penting untuk memastikan keselamatan mereka dan kita akan terus bekerjasama erat dengan pihak Filipina dalam menangani isu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Empat warga Malaysia tersebut adalah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29 dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Sebelum ini, empat rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' diculik lapan lelaki bersenjata ketika dalam pelayaran balik dari Filipina ke Malaysia.

Keempat-empat lelaki berumur 21 hingga 34 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Dalam pada itu kata Anifah, Setiausaha Luar Filipina telah menyakinkan Malaysia bahawa Kerajaan Filipina sedang mengambil langkah yang sewajarnya di dalam usaha mengesan dan menyelamatkan empat warga Malaysia berkenaan.

"Dia juga memaklumkan bahawa pihak Tentera Filipina telah melancarkan operasi sekatan maritim di perairan selatan Filipina bagi mengesan keberadaan kumpulan bersenjata terbabit," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya masih mengesan sama ada penculikan berkenaan melibatkan jenayah rentas sempadan atau tidak.