Malaysia menyatakan solidariti terhadap Australia yang ketika ini berdepan kebakaran hutan yang terburuk melanda negara itu, ujar Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ujarnya, negara turut bersedih kejadian itu yang menyebabkan kehilangan nyawa manusia dan hidupan liar, kemusnahan harta benda serta infrastruktur.

"Malaysia menyatakan solidariti terhadap Australia termasuk pasukan bomba dan penyelamat dan pasukan perkhidmatan kecemasan seluruh negara yang bekerja tanpa mengira penat lelah memadam kebakaran," katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, krisis berkenaan menunjukkan bagaimana kesan buruk perubahan iklim di seluruh dunia.

"Justeru, semua negara perlu berusaha melaksanakan dasar kelestarian alam sekitar dan tindakan bersama bagi mencegah kejadian seumpama itu daripada terus menjadi lebih buruk," tambahnya.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 24 orang dilaporkan maut dalam kebakaran hutan yang berlaku melibatkan tiga negeri di Australia.

Sehingga kini, dianggarkan 2,000 kediaman penduduk musnah selepas kebakaran hutan terburuk itu membakar sehingga kira-kira 5 juta hektar kawasan tanah.