Selepas mengumumkan bakal membuka pejabat perwakilan diplomatik ke Palestin yang bermastautin di Amman, Jordan, Malaysia kini pertimbang membuka konsulat serta pelantikan konsul kehormat di Palestin.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan bagi pelaksanaan kategori fasa kedua itu.

“Sekiranya kita ingin membuka konsul kehormat, iaitu tambahan kepada kedutaan yang bermastautin di Amman, konsul kehormat kita (Malaysia) harus mengambil kira pihak-pihak yang terdapat dalam kalangan rakyat Palestin.

“Ada sekurang-kurangnya dua pihak (Fatah dan Hamas) yang besar. Jadi kalau kita nak buka, kita kena buka dua (konsul kehormat) supaya menyantuni kedua-dua pihak itu.

“Kita juga harus tunggu keputusan pilihan raya (Palestin) yang akan datang untuk melihat sejauh mana pilihan raya itu berlaku.

"Kita mendengar dengan penuh minat apabila Presiden Mahmoud Abbas menyebutkan yang beliau ingin melihat pilihan raya kali ini lebih inklusif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang bertanya sama ada Malaysia akan melantik konsul kehormat di Palestin.

Menjawab soalan asal Reezal berkenaan perancangan Kerajaan membuka kedutaan pejabat perwakilan diplomatik ke Palestin, Saifuddin berkata Amman menjadi lokasi pilihan.

“Lebih praktikal bagi pejabat ini ditempatkan di Amman, Jordan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

“Ini adalah sebab utama Malaysia tidak boleh membuka pejabat perwakilan di Ramallah di Tebing Barat.

"Sekiranya pejabat perwakilan ditempatkan di Ramallah, maka Malaysia perlu berurusan dengan Israel secara rasmi bagi perkara-perkara logistik, pentadbiran dan urusan keluar-masuk ke Ramallah," katanya.

Malah, Saifuddin berkata, kerajaan mensasarkan supaya pembukaan pejabat perwakilan tersebut dapat dilakukan secepat mungkin.

“Kementerian Luar telah memulakan usaha mengumpul maklumat-maklumat penting bagi melaksanakan keputusan ini serta mendapatkan pandangan dan pengalaman daripada pihak-pihak yang mempunyai pejabat atau wakil di Palestin itu sendiri.

“Kementerian Luar juga telah berhubung dengan Kementerian Luar Jordan mengenai keputusan pembukaan pejabat perwakilan Malaysia ke Palestin.

"Seperti Palestin, pihak Jordan menyambut baik keputusan ini,” katanya.

Malah, katanya Kementerian Luar Malaysia dan Kementerian Luar Jordan kini sedang bekerjasama rapat bagi mengenal pasti proses-proses yang terlibat demi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah ini, selain meneliti proses dan prosedur dalaman untuk penubuhan Pejabat Perwakilan sebegini.