Potensi untuk memperluas bidang kerjasama termasuk menggalakkan dialog dan memupuk kesefahaman antara agama merupakan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan antara Menteri Luar Malaysia dan Singapura.

Dalam perbincangan antara Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, kedua-duanya mengambil maklum akan hubungan dua hala yang rapat dan berbincang untuk terus meningkatkan hubungan itu.

"Datuk Saifuddin juga menjelaskan tentang dasar dan keutamaan kerajaan Pakatan Harapan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini berhubung lawatan rasmi dua hari Saifuddin ke Singapura sejak Isnin atas undangan Dr Balakrishnan.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan Saifuddin selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar yang baharu pada 2 Julai.

Semasa lawatan itu, Saifuddin turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean.

-- BERNAMA