Melihat anak muridnya mampu bertutur lancar bahasa Inggeris di luar sesi pembelajaran memberikan kepuasan kepada bekas guru prasekolah, Noorjahan Sultan.

Beliau cukup teruja melihat murid-murid itu bertutur penuh yakin.

Noorjahan, 47, berkata kebolehan anak muridnya itu jelas membuktikan keberkesanan modul bacaan berirama mudah Bahasa Inggeris 'Let's Rhyme' yang diasaskannya khusus untuk membantu pelajar menyukai mata pelajaran itu.

Modul 'Let's Rhyme' juga membawa kejayaan manis kepadannya kerana terpilih sebagai pemenang Anugerah Pearson ELT Teacher, kategori Asia dan Ocenia 2018 yang membabitkan pencarian guru bahasa Inggeris terbaik di arena antarabangsa.

"Modul ini dihasilkan apabila saya mencari cara terbaik untuk menarik minat pelajar prasekolah untuk menumpukan perhatian dalam kelas. Modul ini berbeza kerana ia melibatkan mimik muka, perubahan nada suara, emosi dan gaya berbeza.

"Modul ini ringkas tetapi memberi penekanan kepada kira-kira 1,000 kosa kata asas Bahasa Inggeris supaya pelajar prasekolah bersedia menggunakan bahasa itu apabila menginjak ke darjah satu," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Noorjahan yang mempunyai pengalaman mengajar selama 22 tahun berkata penghasilan modul yang mempunyai 40 tema berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan itu bermula pada 2007 dan disiapkan sepenuhnya dua tahun kemudian.

Bekas guru Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama yang kini berkhidmat sebagai pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang berkata modul yang dihasilkannya mempunyai keunikan tersendiri kerana menitik beratkan nilai murni dan patriotisme.

"Saya memastikan pengakhiran setiap modul diselitkan dengan nilai tempatan seperti perayaan Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Selain kosa kata, modul ini juga menekankan aspek tata bahasa," katanya.

Noorjahan berkata meskipun idea asalnya adalah untuk kanak-kanak prasekolah hingga sembilan tahun, beliau dimaklumkan modul itu juga digunakan oleh guru untuk membantu pelajar sekolah menengah di kawasan pendalaman, malah sehingga ke kelas dewasa.

Mengulas kemenangannya, Noorjahan yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berkata beliau tidak menyangka video penyertaan yang dihantarnya sehari sebelum tarikh tutup pertandingan akan menambat hati juri, sekaligus menjadikannya juara.

"Saya sebenarnya menyasarkan kategori undian awam dalam talian kerana saya telah melihat video guru-guru yang bersaing. Apa yang berbeza daripada mereka ialah saya memulakan video dengan gimik salah satu modul yang dihasilkan," katanya.

Noorjahan juga menerima undian awam tertinggi iaitu 6,029, bagaimanapun kategori itu dibatalkan penganjur berikutan dakwaan ketidakesahan orang awam dalam proses undian melalui kaedah atas talian.

Beliau berkata berita rasmi kemenangan itu dimaklumkan menerusi e-mel daripada pihak penganjur yang diterimanya pada sekitar pukul 7.18 petang Jumaat, bagaimanapun beliau telah menerima ucapan tahniah lebih awal.

"Ramai yang tahu daripada senarai yang disiarkan di laman web penganjur. Ucapan tahniah diterima di laman sosial Facebook dan Whatsapp... masih ada mesej tahniah yang belum saya balas," katanya.

Noorjahan mengakui banyak menerima permintaan untuk menerbitkan 'Let's Rhyme' namun setakat ini, beliau selesa menerbitkan modul yang telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu bersama suaminya Kamaruddin Mohamed, 52.

Sebagai pendidik, Noorjahan menasihatkan guru muda agar mencari kaedah pembelajaran yang menarik dan tidak lagi bergantung pada cara tradisional secara menghafal, selari dengan perkembangan semasa.

"Kanak-kanak mempunyai tenaga yang banyak dan perhatian mereka mudah diganggu. Sekarang mereka juga punya teknologi yang pelbagai, maka kaedah pembelajaran perlu berlangsung dalam suasana santai dan menyeronokkan," katanya.

-- BERNAMA