ALHAMDULILLAH, selesai sudah kemelut politik pemilihan Perdana Menteri Malaysia setelah mengambil masa selama seminggu.

Semua Ahli Parlimen dan pimpinan politik perlu berjiwa besar menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Kini masa untuk semua bekerja keras memulihkan ekonomi negara.

Sebagai penganalisis ekonomi, saya melihat Perdana Menteri ke-8 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki kelebihan di dalam mengurus ekonomi negara.

Beliau telah berada di dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sekian lama dan juga berpengalaman selama hampir dua tahun di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pastinya beliau telah menilai apakah kekurangan dan kelemahan dasar-dasar ekonomi BN dan PH yang boleh ditambahbaik di bawah pentadbiran Muafakat Nasional (MN).

Di dalam keadaan ekonomi negara yang bergerak perlahan, Perdana Menteri perlu memastikan pasukannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan mempunyai arah tuju yang jelas di dalam portfolio yang dipegang.

Tiada lagi istilah tempoh “pembelajaran” untuk barisan pasukan beliau.

Risiko untuk tempoh “pembelajaran” tersebut mungkin tinggi.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri masa kini ialah memastikan keberkesanan perlaksanaan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM20 bilion.

Suntikan ke atas sektor-sektor perniagaan melalui pakej rangsangan ini perlu diterjemah dalam bentuk manfaat ekonomi kepada rakyat.

Selain daripada itu, berikut dinyatakan beberapa bidang keutamaan dari perspektif makro-ekonomi yang perlu diberi tumpuan oleh pasukan Perdana Menteri.

Bidang-bidang keutamaan ini bukan lah perkara baharu tetapi pelaksanaan dan keberkesanan pada kira-kira hampir dua tahun lepas agak perlahan.

Perkara pertama berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi.

Perkara kedua berkaitan dengan kesejahteraan kepada rakyat.

Perkara ketiga pula merujuk kepada enablers bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

1. Pertumbuhan ekonomi

• Meningkatkan ketahanan ekonomi domestik dan mengukuhkan potensi eksport

• Mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu yang mampu mengimbangi pengaruh sektor-sektor ekonomi sedia ada

• Merapatkan jurang pembangunan di antara bandar-luar bandar and antara negeri

• Mengalakkan pelaburan yang memberi impak besar kepada ekonomi domestik

2. Kesejahteraan ekonomi

• Meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40

• Menangani permasalahan harga rumah, makanan dan lain-lain keperluan rakyat

• Menangani permasalah pekerjaan golongan belia dan graduan

• Menstruktur semula sistem pendidikan bagi memastikan ianya adil kepada semua rakyat dan berkualiti

3. Mekanisme pertumbuhan - kesejahteraan ekonomi

• Pembangunan dan pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

• Mengalakkan persaingan dan mengurangkan monopoli pasaran

• Mengoptimum penggunaan sumber tenaga kerja yang terdapat di dalam ekonomi

• Mengutamakan pembangunan di luar bandar dan negeri-negeri yang kurang membangun

• Memperbaiki struktur pasaran buruh

• Mengoptimumkan potensi ekonomi digital

Bidang-bidang keutamaan di atas telah terangkum secara langsung mahupun tak langsung di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB, 2021-2030).

Jadi, WKB perlu diteruskan. Jajaran semula kepada strategi-strategi yang terdapat di dalam WKB boleh dilakukan jika perlu tanpa mengubah matlamat asalnya.


* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

** Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

*** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia dan Astro AWANI.