Pengundi pos di dalam dan luar negara yang masih belum menerima sampul undi tidak perlu bimbang.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, ini kerana tempoh untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut masih lagi tidak terlepas.

"Saya ada dengar ada pengundi pos di luar negara yang belum menerima kertas undi. Namun, saya juga ada mendengar bahawa ada juga pengundi pos yang bukan sahaja menerima kertas undi tetapi sudah pun hantar kepada Pegawai Penyelaras Parlimen.

"Jadi, kita harus lihat begini. Tempoh untuk menyempurnakan undian masih lagi ada. Jadi, saya menyarankan supaya para pengundi tidak bimbang," kata ketika ditemui pada proses undian awal di Bukit Aman pada pagi ini.