Mayat seorang lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun ditemui dengan kesan jerutan di leher di Medan Ipoh, dekat sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat lelaki itu ditemui oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.

"Makluman awal mendapati seorang lelaki telah ditemui di tepi bawah pokok di Medan Ipoh dan beberapa pegawai serta Unit Forensik IPK Perak serta Unit Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah ke lokasi.

"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa hanya menjumpai kesan jerutan di leher dan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah kes gantung diri.

"Mayat tersebut disyaki telah dibuang ke kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah Sum, pihaknya turut memperoleh dompet dan pasport warganegara Indonesia pada mangsa.

Jelasnya, semakan pasport menunjukkan mangsa masuk ke Malaysia pada 21 Oktober lepas melalui Imigresen Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut Chang Keong, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tersebut sedang diteliti dan kebanyakan kedai di lokasi berkenaan hanya beroperasi pada waktu petang.

"Tiada suspek yang ditangkap buat masa ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat pada 30 Oktober depan," ujarnya lagi.