"Flaperon yang dijumpa di Pulau Reunion bukan milik pesawat MH370."

Itu pendapat Grace Subathirai, salah seorang waris mangsa insiden kehilangan penerbangan MH370.

Dia masih tidak yakin flaperon itu milik pesawat yang meragut 239 nyawa termasuk ibunya Anne Daisy kerana kerajaan Perancis masih lagi melakukan siasatan dan analisis terhadap serpihan sayap Boeing 777 itu.

Menurut Grace, masih belum ada bukti kukuh daripada pihak berkuasa walaupun pengumuman rasmi sudah dibuat kerajaan Malaysia.

“Tapi kita rasa mereka (kerajaan) tidak lagi memberikan kita apa-apa bukti. Mereka tidak membuktikan apa yang mereka katakan, bagaimana nombor itu sepadan atau bahagian mana daripada rekod penyelenggaraan yang mereka bandingkan, (juga) apa analisis lain yang mereka lakukan.

“Saya tahu Menteri Pengangkutan berkata terdapat nombor sita penyelenggaraan MAS dan cat itu sepadan dengan rekod MAS, tetapi bagaimana mereka mencapai kesimpulan itu? Mengapa tidak ada maklumat lain kecuali kata-kata daripada mereka sahaja,” kata Grace ketika ditemu bual Astro AWANI.

Dia menyifatkan tindakan kerajaan memutuskan bahawa flaperon itu milik MH370 sebagai terlalu awal kerana dilakukan ketika siasatan masih dijalankan.

Grace berharap misi pencarian MH370 terus dipergiatkan terutama di kawasan kepulauan yang tidak berpenghuni.

“Kami semua masih berharap bahawa serpihan ini bukan dari pesawat kerana tiada seorang pun akan mahukan orang yang disayangi terkorban dalam tragedi sedemikan.

“Jadi sudah tentu kita berharap mereka di luar sana, di suatu tempat, dan jika sekiranya serpihan itu disahkan milik pesawat (MH370), sudah tentu kebarangkalian mereka masih hidup di luar sana menjadi sangat tipis atau kami tidak lagi boleh menaruh harapan,” tambah Grace.


Ahli keluarga nahas MH370 perlu bukti kukuh.
Malaysia pada Khamis mengesahkan bahagian sayap yang ditemui di Pulau Reunion pada minggu lalu adalah milik MH370 yang hilang pada Mac 2014.

Perancis dilapor menghantar pasukan maritim dan udara yang baharu ke Pulau Reunion di Lautan Hindi mulai Jumaat.

Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Perancis memaklumkan tindakan itu bertujuan mencari bangkai pesawat malang tersebut.