Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menambah baik peraturan tetap operasi, pemantau dan pengeluaran maklumat (POT) berkaitan kejadian gempa bumi di negara ini terutama di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata ketetapan itu dibuat selepas kejadian gempa bumi bermagnitud 5.2 pada skala Richter yang berlaku di daerah Ranau, Sabah pada 8 Mac lalu.

"Pasukan bertindak bencana diaktifkan apabila gempa bumi bermagnitud 5.0 ke atas berlaku dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada pusat Gunung Kinabalu, berbanding 5.5 skala Richter sebelum ini.

"Ketua Pasukan Bertindak Bencana perlu menghubungi Pusat Kawalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Kawalan Malaysia di Bukit Aman (MMC) melalui panggilan telefon," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang meminta kementerian menyatakan peraturan tetap operasi dalam pengeluaran maklumat kejadian gempa bumi kepada agensi-agensi pengurusan bencana dan orang ramai.

Tambah Wilfred, selain NADMA dan MCC, antara agensi yang menerima maklumat tersebut adalah Agensi Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Tambahnya, orang ramai juga akan mendapatkan maklumat menerusi media massa, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia termasuk menerusi aplikasi MyCuaca.