Usaha memulihara dan menyelamat Tasik Chini di Pahang yang diancam pembangunan di kawasan sekitar perlu giat dijalankan supaya tidak mengalami nasib sama seperti Tasik Mentiga yang sudah pupus, ujar aktivis alam sekitar.

Pengarah program My Chini 1.0, Nurizzah Ismail berkata Tasik Chini yang merupakan tasik semula jadi kini berdepan dengan ancaman terhadap ekosistem dan alam sekitarnya oleh pembangunan di kawasan itu.

"Tidak ramai yang tahu bahawa negara kita mempunyai tiga tasik semula jadi iaitu Tasik Bera, Tasik Chini dan Tasik Mentiga yang semuanya berada di Pahang, namun Tasik Mentiga kini telah pupus dan menjadi kawasan daratan.

"Menyedari wujud ancaman terhadap Tasik Chini agar tidak senasib dengan Tasik Mentiga, program MyChini 1.0 dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda dalam usaha pemuliharaan tasik ini," katanya kepada Bernama.

Nurizzah berkata usaha itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai organisasi bukan kerajaan serta dibantu oleh Pusat Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia yang sudah sekian lama menjalankan kajian di kawasan itu.

"Antara organisasi yang terlibat dengan program MyChini 1.0 ialah Alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN), Najib Razak Club (NRC11), Kelas Kaseh, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN).

"Kita harap dengan program kesedaran yang dianjurkan dapat memanfaatkan generasi akan datang yang mungkin tidak berpeluang menikmati keindahan Tasik Chini jika usaha pemuliharaan tidak giat dijalankan dari sekarang," katanya.

Tasik Chini merupakan tasik semula jadi kedua terbesar di Malaysia yang mempunyai keluasan 202 hektar kawasan air dan 700 hektar kawasan paya dan hutan.

Ia terletak di daerah Pekan, Pahang kira-kira 70 kilometer dari Kuantan atau 250 kilometer dari Kuala Lumpur.

Tasik yang wujud melalui rangkaian 12 buah tasik disebut sebagai 'laut' oleh masyarakat Orang Asli suku Jakun tempatan, yang bercantum antara satu sama lain ini turut tersenarai di bawah Rizab Biospera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Terdapat kira-kira 51 spesies tumbuhan tanah rendah, 15 spesies tumbuhan paya, 25 spesies tumbuhan air dan 87 spesies ikan air tawar mendiami kawasan tasik yang terkenal dengan bunga teratai yang tumbuh meliar di sekitar kawasan itu.

-- BERNAMA