LUMUT:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak mengaktifkan Op Mencari dan Menyelamat (SAR)  setelah menerima laporan mengenai insiden sebuah bot tongkang pasir tersangkut pada pukat bot nelayan tempatan di posisi 10.3 batu nautika Pulau Talang sekitar jam 7.15 awal pagi semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, sejurus menerima maklumat, bot BENTENG 6 dan KM TUGAU Maritim Malaysia serta pesawat udara CE 208 Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, mendapati dua kru warga Myanmar berada di atas kapal tongkang pasir tersebut cuba menyelamatkan diri, manakala seorang lagi kru yang juga warga Myanmar berumur lingkungan 40 tahun disyaki hilang.

“Pasukan unit selam Maritim Negeri Perak telah diarahkan serta-merta ke lokasi pada tengah hari semalam kerana bot tersebut dilaporkan hampir tenggelam," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Shahrizan berkata, maklumat sama turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan ‘Maritime Component Operation Comander’ (MCOC).

Menurutnya, kedua-dua kru yang terselamat berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Jeti Kampung Acheh bagi tujuan bantuan kebajikan dan siasatan lanjut.

“Keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 3.5 hingga 4.5 meter dan cuaca yang tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi mencari,” ujarnya.

Operasi ini dihentikan jam 7.30 malam tadi dan disambung semula mulai jam 7.00 pagi ini.