Tidak seperti kelaziman pada Ramadan tahun-tahun sudah, kuliah Ramadan atau majlis ilmu yang diadakan di masjid mahupun di mana-mana tempat sudah pasti akan menjadi tumpuan umat Islam negara ini.

Bagaimanapun, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa, sebarang bentuk perhimpunan besar ataupun aktiviti perkumpulan termasuk aktiviti yang bertujuan mengimarahkan Ramadan tidak digalakkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Penceramah agama yang sebelum ini menjadi rutin biasa dilihat menerima jemputan untuk menyampaikan kuliah Ramadan juga tidak kelihatan di mana-mana masjid.

Kini, dengan sokongan jaringan media sosial, kuliah Ramadan tetap boleh diadakan seperti biasa dengan sedikit 'modifikasi', namun impaknya masih boleh dilihat apabila setiap kali bersiaran 'online' atau secara dalam talian, puluhan ribu warganet mengikuti kuliah itu.

Bagi personaliti dakwah, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat, perkara itu sebagai normal baharu yang pada peringkat awalnya beliau sendiri kekok kerana setiap kali ceramahnya sebelum ini pasti akan ada penonton di hadapan mata meskipun jumlahnya tidak ramai.

"Walaupun duduk di rumah, saya tetap berusaha menyampaikan kuliah agama secara 'live' (langsung) menggunakan laman rasmi Facebook saya. Pengikut bukan hanya tertumpu di sesuatu tempat seperti kita buat di masjid, tapi melangkaui hingga ke luar negara.

"Alhamdulillah melalui cara ini, walaupun dalam tempoh PKP, umat Islam masih dapat merasai nikmat kedatangan Ramadan," katanya kepada Bernama.

Syamsul Amri berkata platform media sosial seperti StreamYard membolehkan mereka turut mengadakan forum agama dalam talian yang menampilkan empat personaliti dakwah serentak walaupun perlu duduk di rumah masing-masing.

"Tidak sangka penstriman langsung yang pertama kali dibuat pada awal malam pertama Ramadan itu mencecah puluhan ribu penonton dan mendapat reaksi positif sehingga boleh berulang kali ditonton selepas itu, Insya-Allah pendekatan ini akan diteruskan sepanjang Ramadan," katanya.

Turut senada ialah penceramah terkenal, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang mengakui ketika tempoh PKP ini, ada sebahagian masyarakat mengalami stres yang memerlukan sokongan rohaniah daripada penceramah agama.

"Ustaz-ustaz yang mempunyai pengikut ramai mereka boleh guna kaedah laman sosial masing-masing untuk tazkirah yang boleh mengajak warganet untuk saling memperingati ke arah yang lebih bermanfaat daripada mereka bosan di rumah.

"Tapi, medium dakwah melalui media sosial secara langsung yang paling penting ialah pemilihan tajuk tidak terlalu berat seperti sembang santai selepas solat sunat tarawih yang jika dilakukan seperti itu akan sentiasa mempunyai kadar tontonan yang tinggi," katanya. - BERNAMA