SEMUA sedia maklum, bermula 18 Mac 2020, rakyat Malaysia yang lazimnya berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura dan Thailand sudah dilarang berbuat demikian.

Ia selari dengan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pastinya ia memberi impak yang besar.

Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Hizamudin Jamal, berada di negara itu sejak 17 Mac lalu atas urusan kerja, merupakan normal baharu buatnya.

“Masa 17 hari bulan tu dapat panggilan daripada pengurus, dia cakap 'kamu kena balik Singapura sebab lockdown'. Masa tu saya sedang bercuti. Nasib baik masa tu sedang cuti, kelam kabut balik (ke rumah di Johor Bahru), siapkan barang dan petang itu juga saya masuk Singapura," ceritanya yang kini sudah lebih sebulan kekal di negara pulau republik itu.

Meskipun berada di Singapura sepanjang tempoh itu, menurut juruteknik kanan itu, ia tidak mendatangkan masalah kerana kemudahan telah disediakan pihak syarikat selain bantuan yang diberikan oleh pemerintah Singapura.

“Syukur Alhamdulillah, pengurus saya beritahu semua tempat tinggal diberikan, makan pun diberikan... tak ada masalah. Bagi pihak syarikat, kami perlu datang kerja. Kalau daripada kerajaan, penduduk tetap dapat juga bantuan, cuma kurang berbanding yang diperoleh rakyat Singapura," katanya lagi.

Kerajaan Singapura turut memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia di Singapura, Firanah Annuar menceritakan meskipun kerajaan telah melanjutkan tempoh tindakan pemutus rantaian (circut breaker) dari 4 Mei ke 1 Jun, situasi masih dalam keadaan tenang.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perbezaan dari segi undang-udang dan peraturan.

“Antara perbezaannya adalah beberapa peraturan diperketatkan. Jika sebelum ini seisi rumah boleh keluar rumah beli barang keperluan, kini seorang sahaja yang dibenarkan pada satu-satu masa.

Kerajaan Singapura juga mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang ingkar arahan kawalan pegerakan yang dilaksanakan

"Selain itu kita masih boleh keluar joging atau beriadah tapi secara individu bukannya berkumpulan. Yang lainnya, perkhidmatan sektor kritikal yang sebelum ini dibenarkan beroperasi, seperti salon, kedai minuman seperti bubble tea kini diarahkan tutup," ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang ingkar arahan kawalan pegerakan yang dilaksanakan.

“Pemakaian mask atau topeng muka, adalah diwajibkan jika keluar dari rumah. Sekiranya tidak mematuhi peraturan boleh didenda S$300 bagi kesalahan pertama tetapi kesalahan seterusnya, anda boleh didakwa di mahkamah,” tambahnya

Rakyat Singapura masih boleh keluar jogging atau beriadah tapi secara individu bukannya berkumpulan

Setakat Ahad, Singapura telah mencatatkan 13,624 kes positi COVID-19 dengan 12 kematian.

Kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan, sebahagian besar daripada kes baharu itu adalah para pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing.

Selain itu, 15 kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap Singapura.