Sebanyak 53 buah bas didapati melakukan pelbagai kesalahan menerusi Ops Serkap di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata antara kesalahan adalah tidak mempunyai permit yang sah, tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa kesalahan lain.

"SPAD akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita di pejabat SPAD, TBS malam tadi.

SPAD turut memantau penjualan tiket haram oleh ulat-ulat tiket.

"Kami sering mengingatkan penumpang bas agar membeli tiket bas di kaunter TBS bukan dengan pihak ketiga bagi mengelak dari ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, Mohd Azharuddin berkata pihaknya turut mempertingkatkan operasi di seluruh negara bagi mengurangkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku seperti kemalangan jalan raya.

Ops Serkap yang bermula 21 Januari, dan berakhir pada 5 Feb bertujuan memantau penjualan tiket serta memastikan bas-bas penumpang berada dalam keadaan selamat dan terbaik. -- BERNAMA