Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula bekas menteri kewangan Datuk Seri Najib Razak berhubung tuntutan tunggakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia perlu dilihat berdasarkan keperluan.

“Kita akan rujuk kembali sama ada keperluan dan kita akan buat panggilan semula. Jadi, kita ikut keperluan untuk panggil semula Najib jika ada keperluan kita mungkin akan panggil semula,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di sini hari ini.

Bekas bekas menteri kewangan itu hadir dalam prosiding PAC selama sejam susulan kes tuntutan tunggakan semula GST yang bernilai RM19.4 bilion.

Pengerusi PAC itu berkata, soalan untuk ahli Parlimen Pekan itu berdasarkan terma rujukan jawatankuasa tersebut.

“Kesemua ini kita masukkan di dalam laporan kita yang akan dibentangkan di dalam Parlimen.”

Beliau berkata PAC akan memanggil saksi terakhir dalam isu tuntutan dana GST iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.