Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berpendapat khidmat pasukan pemadam kebakaran lebih efektif dalam usaha mempercepatkan pemadaman kebakaran hutan di Indonesia.

Ketua Pengarahnya Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata kaedah pemadaman menggunakan pesawat dilihat kurang berkesan kerana kebakaran itu melibatkan tanah gambut.

"Saya sentiasa beritahu anggota kami untuk bersiap-sedia kalau khidmat mereka diperlukan bagi memadam kebakaran itu tetapi nampaknya Indonesia lebih berminat guna pesawat.

"Tetapi kita berpandangan kalau betul-betul nak padam kebakaran dengan segera, jalan terbaik adalah menghantar pasukan pemadam sebab kebakaran gambut ini agak sukar dikawal kalau menggunakan pesawat kerana ia sekadar semburan air dari atas.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pembukaan Pusat Kawalan Kebakaran dan Kecemasan serta Gudang Simpanan Bahan Buangan Berjadual Kualiti Alam di Sendayan dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kualiti Alam Sdn Bhd Khalid Bahsoon.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Wan Mohd Nor berkata Pusat Kawalan Kebakaran Kualiti Alam terletak di lokasi yang strategik kerana berdekatan kawasan perindustrian dan perumahan di Sendayan.

"Ini akan dapat mempercepatkan masa bertindak anggota ke lokasi kecemasan sama ada di Pusat Kawalan Kualiti Alam atau kawasan berhampiran," katanya.

Pusat ini yang mula beroperasi bulan lepas mempunyai anggota terlatih dalam pemadaman kebakaran dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) serta mempunyai tiga kenderaan termasuk satu untuk Hazmat.

Sementara itu, Khalid berkata Pusat Kawalan Kebakaran dan Kecemasan itu mampu bertindak cepat terhadap sebarang kejadian di Pusat Pengurusan Bahan Buangan Kualiti Alam di Sendayan dan kawasan sekitarnya.

"Pusat ini adalah tindakan proaktif kami untuk meningkatkan kesihatan dan keselamatan serta mengurangkan jumlah kejadian tidak diingini.

"Pasukan kami berkemampun menangani sebarang kecemasan di Kualiti Alam dan pasukan bantuan kecemasan ini mampu melakukan misi menyelamat untuk kakitangan kami serta kawasan perindustian dan perumahan berdekatan," katanya.

Kualiti Alam mempunyai kepakaran dalam pengurusan sisa berbahaya yang melibatkan rawatan dan pelupusan.