Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai sokongan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih bukan rekaan, tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat antara Dr Mahathir dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu, namun Muhyiddin yakin Perdana Menteri membuat kenyataan yang benar.

Menteri Dalam Negeri itu turut menyifatkan PAS sebagai berbohong apabila pimpinan partinya membuat kenyataan yang berbeza.

“Saya yakin kenyataan Tun (Dr Mahathir) bukan rekaan. Bukan dia tak faham bahasa. Jadi tentu itu kenyataan yang betul.

“Tetapi bila timbul keadaan seperti ini, Pas sudah rasa terperangkap. Jadi bila sudah rasa terperangkap, biasalah dia (pemimpin Pas) boleh bohong dan katakan ‘tidak’ atau ‘saya nafikan’.

“Ini memang perkara kita sudah tahu berlaku dalam Pas,” katanya dalam sidang media di Pekan Beranang, di sini pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, Dr Mahathir dalam satu sidang media berkata, Abdul Hadi membuat pengakuan bertulis dalam mesyuarat bersamanya di Yayasan Al-Bukhary bahawa Pas tidak akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam PRK Semenyih.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan perkara itu dan memaklumkan belau menerima persetujuan bertulis yang ditandantangani Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam sidang media di sini pada Ahad pula berkata, persetujuan bertulis itu sebenarnya draf ikrar menyokong Dr Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadapnya.

Sementara Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pada Sabtu memberitahu Astro AWANI bahawa pimpinan pusat parti itu tidak memberi apa-apa arahan untuk tidak menyokong calon BN di PRK Semenyih.

Ini susulan kehadiran Idris dan Takiyuddin di pusat penamaan calon pada Sabtu yang memberi sokongan kepada calon BN Zakaria Hanafi.