Pas Melaka bersetuju dengan saranan kerajaan negeri agar pengusaha restoran dan hotel di negeri ini mendapatkan sijil halal dalam usaha mengoptimumkan industri makanan halal yang semakin berkembang pesat di negara ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamarudin Sidek berkata, ia perlu dipatuhi oleh semua pengusaha terbabit walaupun ada beberapa hotel masih tidak prihatin aspek berkenaan.

“Saya anggap mereka tak hormati kerajaan yang dilantik sedangkan dengan persijilan halal saya rasa tak akan jejaskan perniagaan mereka bahkan ia akan meningkatkan keyakinan pelancong.

“Saya harap ketua menteri perlu bertegas dalam isu ini, begitu juga barisan Exco yang dilantik, jangan ada main politik tikam belakang.

“Bagi pengusaha perhotelan saya harap hormati sensitiviti 64 peratus rakyat Muslim di negeri ini kerana ia memberi imej rakyat keseluruhannya, bukan isu siapa pelanggan yang masuk ke premis anda,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Ketua Menteri Adly Zahari menyarankan pengusaha restoran dan hotel di negeri ini mendapatkan sijil halal supaya dapat meningkatkan keyakinan pengguna terutama orang Islam dalam memilih makanan yang mematuhi aspek syariah.

Ia setelah laporan dari Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menyatakan hanya 34 daripada 314 dapur di resort dan hotel di negeri ini memiliki sijil pengesahan halal.

Daripada jumlah itu, hanya dua dapur resort dan hotel bertaraf lima bintang mempunyai sijil pengesahan halal, empat bintang (11), tiga bintang (15), dua bintang (2) dan tiada bintang (4).

Malah, kesemua dapur resort dan hotel yang mendapat sijil pengesahan halal ini telah dibenarkan untuk menggunakan istilah ‘Bufet Ramadan’ bagi membolehkan umat Islam memilih premis berkenaan untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini tanpa was-was.