Tutup

Pasangan kekasih ditahan samun kedai 24 jam

Pasangan kekasih ditahan samun kedai 24 jam
Pada 25 Oktober lalu, pasangan ini sekali lagi mahu melakukan samun di kedai 24 jam di Damai Plaza namun gagal apabila pekerja kedai itu bertindak menjerit meminta tolong.
KOTA KINABALU: Sepasang kekasih ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes samun kedai 24 jam sekitar Kota Kinabalu, dalam satu serbuan di Taman Inanam, 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pada 23 Oktober yang lalu pasangan kekasih itu telah melakukan samun bersenjata di kedai 24 jam di Jalan Kebajikan Luyang dan merampas RM90 dari seorang pekerja kedai berkenaan.
Pada 25 Oktober lalu, pasangan ini sekali lagi mahu melakukan samun di kedai 24 jam di Damai Plaza namun gagal apabila pekerja kedai itu bertindak menjerit meminta tolong.

Jelas Habibi, modus perandi pasangan yang berumur 28 tahun itu ialah suspek lelaki akan masuk ke dalam kedai membawa senjata dan melakukan samun manakala teman wanitanya pula menunggu di dalam kenderaan.
"Selepas mendapat laporan berhubung kejadian itu, pihak polis telah melakukan risikan dan akhirnya berjaya menangkap kedua-dua suspek pada 27 Oktober lalu di Taman Inanam, Kota Kinabalu.

"Ketika serbuan, pihak polis juga merampas kenderaan, pakaian dan pisau yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu," katanya.

Tambah Habibi, hasil soal siasat mendapati, suspek terbabit dalam enam kes samun lain di sekitar Kota Kinabalu dan mula aktif melakukan jenayah itu sejak empat bulan yang lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.