Seorang pekerja kilang maut manakala dua beradik perempuan parah selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Lama Siputeh-Pusing di sini pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Anuar Ahmad, 39, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Batu Gajah manakala dua beradik yang berusia 14 dan 17 tahun itu masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintenden Tan Boon Hooi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang kedua-dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Siputeh untuk pulang ke rumah mereka di Taman Bemban Setia.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan disyaki masuk ke laluan motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki dua beradik itu sebelum mereka bertembung sesama sendiri.

"Dalam kemalangan tersebut, ketiga-tiga mereka cedera parah namun mangsa lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di wad kecemasan di Hospital Batu Gajah pada pukul 8.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada petang Sabtu.

Tambah Boon Hooi, proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di hospital sama manakala kedua-dua beradik juga mendapat rawatan di hospital tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.