Kadar baharu elaun Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) mula dikuatkuasakan hari ini.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, ini bermakna bermula hujung bulan ini, semua pelatih dan bakal pelatih SL1M akan mula menikmati kadar elaun baharu iaitu RM2,000.

Katanya, kenaikan elaun itu tidak akan menjejaskan kos operasi syarikat yang terlibat malah pihaknya sedia membantu memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak

"Apa pun syarat kita, kita takkan membebankan mereka malah kita akan cuba melihat elaun itu tidak mengganggu satu peratus kuota mengikut perkiraan dalam surat setuju terima.

"Kepada syarikat yg membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR), kita boleh kurangkan kuota mereka untuk membantu dan gunakan kuota sama juga yang mereka telah peruntukan untuk tahun ini," katanya dalam sidang media yang diadakan pada Khamis.

Tambah Norashikin, syarikat Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd menjadi antara yang pertama menyambut baik cadangan menaikkan elaun pelatih SL1M seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa merasmikan Sesi Temu Duga Terbuka SL1M Zon Tengah 24 Februari lalu.

Dalam sidang media sama, Norashikin turut memaklumkan bahawa Sesi Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Sabah akan diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 17 dan 18 Mac ini.

Pendaftaran bermula seawal 7.00 pagi sehingga 6.00 petang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada semua graduan serta pencari kerja tanpa mengira latar belakang serta peringkat kelulusan.

Pelbagai aktiviti ditawarkan termasuk perkongsian serta persembahan selebriti tempatan seperti Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Stacy, Marsha Milan, Farish Aziz, Ara Johari dan Andi Bernadee.