Pelaksanaan Mandatory Standard of Access Pricing (MSAP) bagi harga pakej jalur lebar akan ditetapkan pada tarikh ke belakang (backdated) iaitu 1 Jan, memungkinkan rebat untuk pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Namun, perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat pembekal telekomunikasi yang terlibat, dan sebarang keputusan mengenai rebat hanya akan diumumkan sekiranya persetujuan dicapai dengan semua pihak berkepentingan.

"Memang salah satu perkara yang dibangkitkan ialah sama ada apa-apa pakej yang dibawa itu akan 'backdated' kepada 1 haribulan supaya yang telah pun bayar lebih untuk pakej itu diberi 'refund' dan sebagainya.

"Perkara ini dalam pertimbangan kita dan menjadi sebahagian perbincangan yang sedang dilaksanakan.

"Saya mengambil pendekatan, ia seharusnya di-backdate sehingga 1 Januari kerana itulah masa MSAP itu dikuatkuasakan. Itu pandangan peribadi saya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

BACA: Harga perkhidmatan jalur lebar dijangka turun 25% hujung tahun ini

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mempertimbangkan rebat sekiranya MSAP dilaksanakan.

MSAP digazet pada 8 Jun, 2018 tetapi berkuatkuasa mulai 1 Jan, 2018.