Pelan Induk Cyberjaya yang baharu akan menumpu untuk membentuk ekosistem teknologi holistik yang terdiri daripada aktiviti komersial dan digital.

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Najib Ibrahim berkata pelan induk itu membayangkan Cyberjaya menjadi destinasi pelaburan pilihan bagi syarikat teknologi serta penggunaan teknologi di seluruh bandar itu bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai bandar pintar.

"Ia juga membayangkan pemangkin teknologi dan inovasi bagi ekonomi negara pada masa depan dengan membina ekosistem yang padu serta dibangunkan dengan baik bagi pemain teknologi sedia ada dan yang berpotensi," katanya kepada Bernama selepas muncul di program 'Mid day Update' di Bernama TV, pada Selasa.

Cyberview baru-baru ini diberikan mandat oleh kerajaan untuk menerajui pembangunan Cyberjaya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hab teknologi.

Najib berkata Cyberjaya, yang dikenali sebagai nukleus pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) selama 23 tahun, ketika ini menumpukan kepada tiga kluster teknologi baharu iaitu Mobiliti Pintar, Penjagaan Kesihatan Pintar dan Kreatif Digital.

Beliau berkata dengan membolehkan teknologi baharu dibangunkan, diuji dan dijadikan sebagai perintis di Cyberjaya, syarikat itu menggalakkan eksperimen sihat bagi penyelesaian bandar pintar dalam kalangan tenaga kerja.

"Mobiliti Pintar menawarkan pengangkutan berkelajuan tinggi dengan inovasi termasuk Kenderaan Elektrik dan Pemanduan Sendiri, Sistem Pengangkutan Pintar dan dron.

"Penjagaan kesihatan menekankan kepada penggabungan kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet Pelbagai Benda (IoT), data raya dan menggunakan robot perubatan untuk mengurangkan risiko jangkitan-silang.

"Manakala bagi Kreatif Digital, permintaan terhadap industri kreatif adalah kukuh dan banyak studio animasi menghasilkan jenama popular seperti Boboiboy dan Ejen Ali," katanya.

Najib berkata Cyberjaya ketika ini mempunyai kepadatan tinggi syarikat berasaskan teknologi terdiri daripada syarikat pemula niaga hinggalah kepada perbadanan multinasional.

"Selain itu, Cyberjaya dari segi geografinya dibahagikan kepada empat zon, setiap satunya memilliki ciri-ciri tersendiri. West Cyberjaya adalah pusat melahirkan tenaga kerja mahir, North Cyberjaya menumpukan kepada penyelesaian bandar pintar.

"South Cyberjaya pula adalah pusat bagi inovasi untuk kesemua tiga kluster itu, manakala pusat bandar Cyberjaya menumpukan kepada penggunaan teknologi bagi aktiviti komersial dan penyepaduan ke dalam gaya hidup masyarakat," katanya.

Beliau berkata, kesemua keempat-empat daerah itu adalah dengan satu sasaran iaitu untuk memacu pembangunan Cyberjaya menjadi hab teknologi global yang dinamik.

"Cyberview akan menentukan komposisi penggunaan tanah terbaik bagi setiap kluster dengan sasaran memenuhi setiap matlamat kluster di samping memaksimumkan penggunaan tanah dan kebolehjualan. Kami menerima syarikat-syarikat yang telah berada di Asia, serta syarikat yang merancang berkembang ke Asia buat pertama kali.

"Terletak strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelbagai terbukti menjadi daya tarikan kepada pelabur asing, perniagaan dan syarikat multinasional," katanya.

-- BERNAMA