SATU ketika dahulu sumber Bumi, terutamanya bijih timah adalah penyumbang utama ekonomi negara, kini industri perlombongan dan pengkuarian hanya berkembang sekitar 2.9 peratus berbanding sektor perkhidmatan (6.1 peratus), perkilangan (4.3 peratus) dan pertanian (4.2 peratus) (Laporan Bank Negara Malaysia 2019).

Ini tidak bererti, sektor ini kurang penting dan tidak perlu diberikan perhatian. Antara sebab utama sektor ini sukar berkembang ialah harga komoditi mineral di pasaran dunia kurang menentu dan kos pengeluaran yang agak tinggi.

Tambahan pula, sektor ini sering dianggap pencemar utama alam sekitar dan memerlukan kawalan perlesenan yang ketat.

Malaysia kaya dengan sumber Bumi. Sejarah geologi yang panjang dan beraneka sejak lebih 500 juta tahun telah menghasilkan kepelbagaian sumber bumi yang tinggi.

Antaranya ialah sumber mineral logam (emas, bijih timah, besi, bauksit dan mangan); mineral bukan logam (batu kapur, agregat granit, pasir, tanah liat, silika dan barit); bahan tenaga (minyak, gas dan arang batu); dan pelbagai mineral sampingan (ilmenit, zirkon, monazit dan xenotim).

Minyak dan gas Bumi telah diurus secara berasingan melalui Akta Petroleum National (PETRONAS).

Industri perlombongan dan pengkuarian kini telah menyumbang keluaran negara kasar sekitar 7.6 peratus.

Suatu masa dahulu, negara kita pernah menjadi pengeluar bijih timah terbesar dunia. Sekitar 40% daripada permintaan bijih timah dikeluarkan daripada negara ini.

Bagi bijih besi pula, dieksport ke Jepun pada 1920-an. Ketika itu negara kita membekalkan sekurangnya 40 peratus dari jumlah keseluruhan bahan mentah yang diperlukan Jepun untuk industri besi dan keluli.

Beberapa bandar utama seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Kemaman dan Bukit Besi muncul kerana pembangunan sektor perlombongan ini.

Itulah sejarah lampau, walaupun banyak sumber yang kita hasilkan, impaknya tidak ketara kerana pendekatan ketika itu hanya mengeksport bijih mentah.

Untuk bergerak ke hadapan, dasar dan pendekatan pengurusan sumber Bumi perlu dinilai semula.

Mungkin kita perlu keluar dari idea tradisi yang diperkenalkan oleh Inggeris iaitu ‘sumber mineral sebagai bahan komoditi’ untuk dieksport.

Ramai yang tidak menyedari, sumber Bumi ialah sumber yang tidak boleh diperbaharu.

Apabila habis, ia tidak boleh diganti lagi, dan kita sebenarnya tidak meninggalkan sebahagiannya untuk generasi akan datang.

Sumber Bumi perlu dinilai daripada dua perspektif - kelimpahan dan kegunaan strategik.

Jika suatu sumber itu melimpah (banyak), negara boleh mengeksport sebagai bahan komoditi, tetapi jika sumber agak terhad, ia penting untuk kegunaan masa depan negara.

Sumber yang strategik juga perlu disimpan dan digunakan setelah kita membangun teknologi pemprosesan sewajarnya.

Isu asas dalam pengurusan sumber Bumi ialah kita masih kurang penyelidikan berkaitan penerokaan, penilaian dan pembangunan produk.

Hal ini menyebabkan kita kerap bergantung kepada bahan import walaupun sebenarnya kita juga kaya dengan bahan industri yang diperlukan.

Tambahan pula, negara masih banyak menjual sumber bumi dalam bentuk bahan mentah, sedangkan nilainya akan jauh lebih tinggi sekiranya dijual setelah diproses dan dibangunkan produk berinovasi.

Sebagai contoh, buat masa ini sebahagian besar batu kerikil dieksport ke negara jiran dalam bentuk mentah.

Beberapa inovasi boleh dilaksanakan seperti membuat struktur separa siap dan siap sebelum membenarkannya dieksport.

Hub industri pembinaan baharu boleh diwujudkan berdekatan pesisiran pantai, jeti dan kemudahan prasarana diuruskan kerajaan.

Ini membolehkan percambahan industri baharu dan ramai pengusaha akan dapat manafaatnya. Buat masa ini kebanyakan tempat pendaratan jeti diurus oleh pihak persendirian.

Saya ingin mengambil contoh kemudahan prasarana seperti ini disediakan oleh kerajaan negara jiran, dan hasilnya sangat memberangsangkan dalam menggalakkan industri hiliran sumber bumi.

Malaysia perlu membuat pemetaan pelbagai bahan industri yang diimport dari luar negara untuk industri pembuatan atau perkilangan negara.

Pada masa ini negara mengimport berbilion ringgit sumber bumi yang telah diproses untuk keperluan industri.

Penerokaan sumber bumi perlu disesuaikan dengan keperluan industri dalam negara. Secara beransur-ansur pula, sumber dalaman boleh menggantikan permintaan industri melalui sumber input.

Dengan pendekatan begini, kita juga berupaya membangun teknologi watan bagi menyediakan bahan industri daripada sumber bumi yang telah diproses.

Dengan kedudukan ekonomi baharu pasca krisis wabak COVID-19, negara berhadapan cabaran menujah ekonomi dan pendapatan baharu.

Ini adalah antara inisiatif yang berbaloi untuk ditumpukan. Negara boleh mengambil peluang daripada kepelbagaian sumber bumi ini bagi melangkah ke arah industri hiliran.

Industri hiliran berupaya menambah nilai sumber mentah ini dan dengan meningkatkan keupayaan memprosesan tempatan, negara mampu menyediakan lebih peluang pekerjaan.

Justeru, beberapa inisiatif dan usaha perlu dijana pada skala besar di peringkat negara serta negeri berkaitan bagi memajukan industri mineral sebagai satu industri hiliran.

Usaha ini perlu melibatkan kerjasama dari pelbagai pihak termasuk penyelidik universiti, pemain industri seperti pemaju dan kuari serta badan kerajaan yang berkaitan.

Perancangan dan penyelidikan perlu dirangka dan dibangunkan secara komprehensif bagi mengenalpasti dan menilai mineral yang mampu membawa nilai dan pulangan yang tinggi dalam industri hiliran berasaskan sumber bumi.

Hasil usaha dan kajian ini dijangkakan mampu menjana dan meningkatkan hasil pendapat melalui royalti untuk kerajaan negeri dan pencukaian bagi produk yang dikomersialkan.

Usaha ini boleh dicapai melalui pengumpulan data mineral, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi berteknologi tinggi.

Masanya untuk beralih dari sektor perlombongan dan pengkuarian kepada pembangunan ekosistem lengkap industri berasaskan sumber mineral yang meliputi sektor huluan dan hiliran.



* Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad merupakan Profesor di Universiti Teknologi Malaysia dan Ahli Pasukan Bertindak, Kluster Tenaga, Air dan Alam Sekitar, Akademi Profesor Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.