Sungai Malagatan yang terletak di daerah kecil Tongod, dekat sini, dilaporkan tercemar akibat pembuangan sisa kimia kilang dan ladang kelapa sawit.

Akibatnya, sungai itu bertukar hitam dan ia memberikan kesan besar kepada kehidupan penduduk di kawasan berkenaan yang tidak dapat bergerak jauh terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Seorang penduduk, Clarence Jacob, yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkata, pencemaran dikesan berlaku sejak 8 April lalu.

Menurutnya, dia dimaklumkan rakannya berhubung perkara itu dan pada awalnya dia tidak mempercayai lalu memeriksa sendiri keadaan sungai itu.

“Apabila saya turun ke sungai, memang berlaku pencemaran kerana sungai itu bertukar hitam.

“Air di sungai ini sebenarnya digunakan penduduk setiap hari (untuk kegunaan seharian) dan pencemaran ini boleh membahayakan kesihatan masyarakat Tongod.

“Justeru itu, saya melaporkan kejadian kepada pihak berkaitan yang turut serta menjalankan tinjauan ke lokasi dipercayai punca pencemaran terbabit,” katanya ketika ditemui, pada Jumaat.



Menurutnya sebagai penduduk kampung, pihaknya mahu tindakan segera diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi itu mendapati terdapat kesan sisa kimia yang disyaki dibuang ke dalam parit.

Sisa kimia itu kemudiannya mengalir ke Sungai Malagatan yang kemudiannya digunakan ribuan penduduk di kawasan Tongod.

Lebih menyedihkan, sungai berkenaan turut dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pekerja ladang dan kilang kelapa sawit terbabit berhampiran.



Dalam pada itu, seorang suri rumah, Lozinah Benedik berkata, walaupun sungai itu tercemar, mereka terpaksa menggunakan air sungai itu kerana sudah tiada pilihan.

Katanya, mereka terpaksa mengangkat sendiri air menggunakan baldi dari sungai untuk digunakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tongod, Datuk Masiung Banah ketika ditemui pula berkata beliau sendiri ada meninjau kawasan sungai tersebut dan mengesahkan sungai itu tercemar.

Masiung menggesa agar siasatan segera dan telus dijalankan terhadap pencemaran Sungai Magalatan.

"Saya berharap pihak berkuasa tempatan dapat membuat siasatan terperinci susulan kejadian ini. Jika mereka didapati menyalahi undang-undang dan peraturan, tindakan tegas wajar diambil bagi mengelak kejadian sama tidak berulang," katanya.