Polis Selangor menahan dua lelaki semalam bagi membantu siasatan kes pencemaran diesel di Sungai Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kedua-dua lelaki itu masing-masing merupakan pengusaha dan pekerja pontun di sungai berkenaan.

“Mereka yang berusia awal 30-an ditahan di pontun itu di Kuala Selangor dan kini direman selama empat hari sehingga 28 Julai," katanya kepada pemberita pada penutup seminar dan latihan ancaman keganasan di sini hari ini.

Menurutnya, polis setakat ini telah merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan kes itu.

BACA: EKSKLUSIF: Pencemaran air Selangor: Nampak tumpahan diesel, ada individu tawar 'duit kopi'

Insiden pencemaran itu mengakibatkan henti tugas empat loji rawatan air pada 21 Julai lalu yang menjejaskan pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Noor Azam berkata siasatan juga dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

BACA: Sabotaj negara: Dalang pencemaran sungai boleh didakwa di bawah SOSMA - KPN

BACA: Tak mungkin salur minyak tercabut sebab angin - MB Selangor