Tutup

Pendaftaran 206 cawangan: DAP diminta buat permohonan baharu

Pendaftaran 206 cawangan: DAP diminta buat permohonan baharu
Loke turut memuji kesediaan RoS bertemu dengan wakil DAP dan berharap perbincangan seperti itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan itu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: DAP dikehendaki mengemukakan semula permohonan bagi pendaftaran 206 cawangan baharu parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu disampaikan oleh Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim dalam pertemuan dan perbincangan di ibu pejabat jabatan itu, di sini hari ini.
Menurutnya, permohonan pendaftaran kesemua cawangan tersebut yang dihantar kepada RoS pada Mei 2013, tidak diluluskan susulan isu pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang hanya diselesaikan pada November 2017.

Ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Loke berkata DAP akan menghantar permohonan pendaftaran 206 cawangan itu kepada RoS dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.
Berhubung status pendaftaran Pakatan Harapan, beliau berkata RoS masih belum meluluskan pendaftaran parti gabungan pembangkang itu berikutan masalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masih dalam siasatan.

Loke turut memuji kesediaan RoS bertemu dengan wakil DAP dan berharap perbincangan seperti itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada jabatan itu.

-- BERNAMA