Penduduk Semporna tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan pihak pengganas.

Ketegasan itu disuarakan Adun Senalang Datuk Seri Nasir Sakaran kepada puak penceroboh yang saki bakinya dikhuatiri masih berlindung di sekitar pantai timur Sabah.

Nasir yakin penduduk di Semporna, terutamanya di dalam kawasan Senalang tidak akan melindungi puak penceroboh.

Beliau berkata, orang kampung akan segera melaporkan kepada polis sekiranya wujud sebarang perkara mencurigakan di kampung mereka.

“Mereka sedar, orang yang jahat ini perlu diajar, perlu menerima hukuman. Jadi ini terbukti dan telah dilakukan oleh kampung yang berkenaan dan kita amat menghargai semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat kampung.

"Tetapi apa yang penting, kita ingatkan kepada kampung lain, sekiranya ada pihak yang disyaki untuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” jelas beliau.

Tegasnya, sebelum ini penduduk kampung Senalang pernah bertindak berani untuk melawan pengganas yang menjadikan mereka tebusan.

Ini membuktikan semangat penduduk kampung di Semporna untuk melawan musuh dan mempertahankan kedaulatan negara.

Kampung Senalang yang terletak tidak jauh dari bandar Semporna pernah dicemari penceroboh.

Dalam insiden itu, seorang penceroboh yang digelar Imam itu, menjadikan 200 penduduk kampung sebagai tebusan.

Drama tebusan selama 6 jam itu berakhir apabila tahanan itu sendiri menyerang penceroboh itu sehingga mati.