Malaysia amat bimbang degan ketegangan perdagangan antara kuasa besar yang semakin ketara kerana ia boleh menjejaskan negara-negara perdagangan yang lebih kecil di ASEAN.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika pasaran perdagangan dunia tidak stabil, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan akan menderita.

“Atas sebab ini, kita mahu menyelesaikan semua masalah, bukan melalui apa jua peperangan tetapi rundingan, proses timbang tara dan kemudian beralih kepada mahkamah dunia.

“Dengan berbuat demikian, kita mengelakkan sebarang kerosakan kepada negara kita apabila terdapat konfrontasi antara kita,” katanya di Pemukiman Pemimpin ASEAN yang pertama di Bali, Indonesia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersalaman dengan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa hadir pada Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN (ALG) hari ini.

Mampu cari sumber pendapatan lain

Dalam ucapannya juga, Tun Dr Mahathir berkata Malaysia telah menghentikan pengembangan perladangan kelapa sawit kerana percaya Malaysia mampu mencari sumber pendapatan lain.

Pada masa yang sama, tindakan ini juga adalah untuk memastikan hasil produk menepati piawaian pasaran.

“Memang benar kita perlu memotong banyak pokok di hutan kita untuk menanam pokok kelapa sawit. Tetapi kita menghentikan perladangan kelapa sawit kerana kita percaya terdapat sumber pendapatan lain untuk kita.

“Pada masa yang sama, kita ingin memastikan bahawa minyak kelapa sawit yang dihasilkan Malaysia menepati piawaian tertentu dan tidak akan menyebabkan pengurangan hutan di Malaysia,” tambahnya.


Kerjasama dengan negara ASEAN

Sementara itu, Tun Dr Mahathir juga menyatakan minat Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara ASEAN untuk meningkatkan taraf hidup dan bersedia untuk berkongsi kaedah bagi mengekalkan pembangunan Malaysia.

“Malaysia sangat berminat untuk bekerjasama dengan semua negara ASEAN dalam meningkatkan taraf hidup dan bersedia berkongsi kaedah untuk mengekalkan pembangunan Malaysia.

“Walau bagaimanapun, kami berharap kami dapat melakukan ini sambil memastikan pemulihan ekonomi, kewangan dan kestabilan negara kita,” katanya.

Ia merupakan kali pertama Tun Dr Mahathir kembali ke pertemuan kepemimpinan ASEAN selepas 15 tahun.

Beliau ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.