Kerajaan Pulau Pinang hari ini memansuhkan Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang berkuat kuasa 15 Sept, selepas tiada kes gigitan anjing gila atau 'rabies' sejak bulan lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Perintah itu dikeluarkan bulan lepas untuk menjaga keselamatan rakyat dan memastikan penularan penyakit itu dapat dibendung dengan memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan penghapusan anjing liar.

Beliau berkata selepas perbincangan dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri dan JPV, kerajaan negeri memutuskan untuk memansuhkan Perintah berkenaan.

"Kita rasa keadaan sekarang telah terkawal kerana tiada sebarang kes gigitan anjing liar yang berpenyakit anjing gila sejak 21 Sept dan saya akan keluarkan arahan bahawa perintah ini dimansuhkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menghapuskan anjing liar di negeri ini kerana kekurangan vaksin.

Namun, Lim berkata Perintah Suntikan Pencegahan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang juga berkuat kuasa 15 Sept lepas, akan dikekalkan bagi pencegahan sepenuhnya wabak itu.

Beliau berkata sehingga hari ini, Pulau Pinang mencatat tiga kes gigitan manusia oleh anjing liar yang berpenyakit anjing gila dan satu kes anjing liar yang ditangkap mempunyai penyakit berkenaan.

"Saya ingin meminta pemilik anjing di negeri ini supaya terus memberi vaksin kepada anjing yang belum menerima suntikan bagi tujuan pencegahan," katanya.

Sementara itu, Lim turut mengumumkan sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di antara Lebuhraya Kampung Jawa dan Hilir Sungai Keluang akan ditutup secara berperingkat mulai Isnin hingga Jumaat.

Penutupan dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 9 malam hingga 5 pagi itu bertujuan menaik taraf projek Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari Batu Maung ke Sungai Nibong yang dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan, katanya.